DAULAH (KHILAFAH) ISLAMIYYAH: KENISCAYAAN SEJARAH (1)

Pendahuluan

Pembentukan Daulah Islamiyyah adalah suatu tuntutan dalam Islam. Ia termasuk dalam perkara tuntutan Fardhu Kifayah. Kepentingan pembentukan Daulah Islamiyyah ada kaitannya dengan pelaksanaan Syariah, kerana Syariah tidak dapat dilaksanakan tanpa adanya Negara atau kedaulatan politik. Tuntutan pelaksanaan Syariah adalah wajib ke atas orang-orang Islam, maka kewujudkan Daulah Islamiyyah adalah suatu yang wajib. Walau bagaimanapun, wujud perbahasan di kalangan ulama dahulu mahupun kini bagi menentukan konsep Daulah Islamiyyah yang sebenar.

Kronologi sistem pemerintahan Islam telah bermula dengan penubuhan Daulah Islamiyyah pertama di Madinah oleh Rasulullah s.a.w. Baginda merupakan ketua kerajaan Islam yang pertama. Selepas kewafatannya, teraju pemerintahan diteruskan oleh pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin (11-40 Hijrah / 632-661 Masehi). Zaman ini merupakan zaman keemasan kepimpinan Islam tambahan pula para khulafa’ terdiri di kalangan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. yang muktabar. Era ini dianggap cermin kepada idealisme kepimpinan Islam di mana semangat kepimpinan Rasulullah s.a.w. masih dikekalkan. Tempoh ini hanya berlanjutan selama tiga puluh tahun iaitu bermula dari Abu Bakar As-Siddiq (11-13 Hijrah), Umar al-Khattab (13-23 Hijrah), Uthman Bin Affan (23-35 Hijrah) dan Ali Bin Abu Talib (35-40 Hijrah). Zaman Khulafa’ al-Rasyidin juga merupakan zaman ideal bagi sebuah pemerintahan yang berlandaskan Islam sepenuhnya. Selepas itu sistem pemerintahan Islam berkembang menelusuri zaman berzaman yang mencapai tahap perkembangan dan pengukuhannya. Sistem pemerintahan Islam pernah menerajui dunia pada satu ketika dahulu.

Konsep Negara Menurut Politik Moden

Menurut istilah sains politik moden perkataan ‘negara’ atau state selalu diertikan sebagai ‘bangsa’, ‘masyarakat’, ‘kerajaan’ dan lain-lain. Tetapi perkataan ini mempunyai maksudnya tersendiri dalam sains politik dan haruslah dibezakan di antara satu dengan yang lain. Dalam sains politik, istilah ‘negara’ bermaksud sekumpulan manusia yang menduduki sesebuah wilayah yang tetap di bawah penyelenggaraan dan tidak tertakluk kepada kuasa luar. Semua negara mempunyai ciri-ciri yang hampir sama. Dalam negara ada sekumpulan manusia yang hidup dan menjalankan pengawalan disesebuah wilayah yang tetap. Mereka merupakan kerajaan dan rakyat yang memerintah dan yang diperintah. Peraturan dan juga undang-undang ditetapkan dan dipelihara, kewajipan-kewajipan dilaksanakan dan hak kewajipan itu diiktiraf oleh kedua-dua ahli kumpulan dan juga negara luar. (1)

Para sarjana politik moden telah memberikan pelbagai pendapat dalam mendifinisikan negara. Mereka mendefinisikan Negara sebagai organisasi penting dan berdiri untuk kesemua ahli masyarakat. Ada yang beranggapan Negara adalah sistem kuasa dan yang lain pula berpendapat Negara sebagai sistem kebajikan. Ada pula yang berpendapat bahawa negara itu merupakan pembentukan yang sah sama ada perhubungan di antara yang memerintah dan yang diperintah atau sebagai satu masyarakat di mana segala tindakannya tertakluk kepada peraturan mengikut undang-undang yang sah.  Terdapat beberapa aspek yang dipersetujui oleh para sarjana politik iaitu; Negara patutlah merangkumi satu wilayah yang  terdapat penduduk, dan penduduk ini pula diperintah  oleh satu badan politik. Kerajaan atau pemerintahan pula  mempunyai hak kuasa atau kewibawaan ke atas rakyat dalam hal menjalankan kewajipan mereka  terhadap negara.(2)

Dalam istilah bahasa Arab perkataan negara diterjemahkan sebagai Daulah atau al-Daulah. Negara Islam disebut sebagai al-Daulah al-Islamiyyah atau sudah dijadikan kelaziman dalam sebutan biasa sebagai Daulah Islamiyyah. Istilah Daulah Islamiyyah yang digunakan dalam kertas kerja ini memberi maksud Negara Islam.

Daulah Islamiyyah Menurut Pandangan Ulama

Dalam tulisan ulama tradisional tidak didapati takrif Daulah Islamiyyah yang diberikan, apa yang mereka berikan ialah ciri-cirinya seperti perbincangan mereka tentang ketua Negara, syarat-syaratnya, cara pemilihannya, tugasnya dan perkara-perkara lain yang ada kaitan dengan pentadbiran Negara.(3)   Tetapi di masa kebelakangan ini terdapat cendiakawan Islam yang cuba memberi definisi Daulah Islamiyyah. Terdapat pelbagai takrif Daulah Islamiyyah diberikan oleh ulama sebagai asas perbincangan mereka di dalam membentuk konsep Daulah Islamiyyah. Ada di antara mereka mentakrifkan Daulah Islamiyyah sekadar melihat waqi’ (reality) di zamannya dan di antaranya pula dengan makna yang mencakupi segala aspek rukun Daulah Islamiyyah.(4)

Al-Sarkhasi mentakrifkan Dar Al-Islam (Daulah Islamiyyah) dengan menegaskan ianya tempat yang berada di bawah pemerintahan orang-orang Islam, tandanya ialah apabila orang Islam aman di dalamnya. Manakala Muhamad bin Hassan as-Syaibani,(5)  seorang ulama terkemuka dari Mazhab Hanafi mentakrifkan Daulah Islamiyyah sebagai “negara yang dikuasai oleh umat Islam, di mana orang-orang Islam beroleh keamanan di dalamnya”. Kedua-dua takrif ini hampir sama iaitu meletakkan asas Daulah Islamiyyah mestilah dikuasai oleh orang Islam.

Mengikut pandangan al-Baghdadi, Daulah Islamiyyah adalah Negara di mana masyarakatnya dapat menyeru dakwah Islam tanpa ada rasa takut dan bimbang, dan dilaksanakan di dalamnya hukum-hukum ke atas orang kafir zimmi, manakala golongan ahli bid’ah tidak bermaharajalela menekan ahli Sunnah.(6)  Menurut Hassan al-Banna, sebuah kerajaan Islam ialah kerajaan di mana para pemimpinnya menunaikan kewajipan Islam, tidak melakukan maksiat dan mereka menjadi pelaksana hukum-hakam Islam dan pengajaran dalam dirinya.(7)

Al-Mawdudi mentakrifkan Daulah Islamiyyah ialah Negara yang kuasa mutlaknya pada Allah S.W.T. Dia yang menentukan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ia sebuah Negara bercorak theo-democracy yang tergabung di dalamnya autoriti mutlak pada Allah dan penyerahan autoriti yang terbatas kepada manusia dalam pelaksanaan urusan Negara yang diakui oleh Syarak. Al-Mawdudi juga menjelaskan Daulah Islamiyyah merupakan satu asas pembinaan Negara yang berlandaskan kepada Hakimiyyah Allah yang Maha Esa. Arahan, keputusan dan perundangan adalah hak Allah semata-mata yang tidak dimiliki oleh mana-mana individu atau dinasti atau puak atau bangsa bahkan tiada seorang manusia pun yang berhak memegang kuasa pemerintahan dan perundangan ini.(8)  Manusia hanya melaksanakan tugas-tugasnya sebagai khalifah dan hanya dianggap sah jika khalifah yang memerintah adalah khalifah yang mengikut syariat dan undang-undang yang dibawa oleh khalifah daripada Tuhannya. Mereka yang beriman dengan undang-undang ini dan menyatakan kesediaan untuk patuh dan mengamalkan undang-undang ini adalah orang yang layak untuk melaksanakan tugas khalifah.

Ayatullah Khomeini pula mentakrifkan bahawa Daulah Islamiyyah tidak ada sebarang persamaan dengan mana-mana sistem kerajaan sedia ada. Daulah Islamiyyah bukanlah autokratik dan tidak menjadikan ketuanya berkuasa penuh sehingga membolehkannya membuat sesuka hati terhadap nyawa dan harta benda orang. Daulah Islamiyyah adalah negara berpelembagaan tetapi bukan dalam erti kata moden iaitu perlembagaan yang ditafsirkan oleh Parlimen atau badan-badan perwakilan awam. Daulah Islamiyyah ialah Negara perlembagaan dalam ertikata bahawa sesiapa bertanggungjawab mengendalikannya terikat kepada undang-undang dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Al-Quran dan al-Sunnah.

Mengikut takrifan Said Hawwa, Daulah Islamiyyah ialah Negara yang meletakkan undang-undang Syarak yang tunggal untuk mentadbir Negara. Ia dipimpin oleh orang Islam yang komited dengan ajaran agamanya, segala sistem dan tujuan hidup Negara adalah untuk menegakkan ajaran Islam yang murni. Abd. Qadim Zallum (9)  menyebut bahwa Daulah Islamiyyah ialah sebuah Negara yang ada padanya pelaksanaan hukum-hukum Islam secara keseluruhan. Sepanjang kekuasaan Daulah Islamiyyah, hukum-hukum dan aturan Islam dilaksanakan di semua wilayahnya samada melibatkan muamalah pelaksanaan hukum, akhlak, ibadah dan seluruh urusan rakyat. Daulah Islamiyyah melaksanakan hukum-hukum Islam kepada sesiapa sahaja yang berada di dalam kekuasaannya, baik muslim atau non-muslim dan menjadikan hukum Islam itu sebagai hukum Syara’, sebagaimana Islam membentuk solusi untuk semua masalah.

Dr. Muhammad Abd. Qadir Abu Fariz (10)  menjelaskan Daulah Islamiyyah itu sebagai sekelompok besar manusia yang hidup secara berpanjangan di atas wilayah tertentu, diatur oleh sistem kekuasaan yang mengatur kelompok masyarakat manusia ini, menyangkut urusan dalam negeri mahupun luar negeri dalam perang atau dalam keadaan damai. Muhammad Abd. Qadir menjelaskan lagi bahawa pembentukan Negara tersebut harus memenuhi tiga unsur utama iaitu bangsa, wilayah dan kedaulatan menurut logik dan akal. Dan ketiga-tiga aspek tersebut, haruslah bersandarkan kepada hukum yang ditetapkan oleh Al-Quran juga melalui Rasul-Rasulnya. Beliau juga menjelaskan kerajaan Islam adalah terdiri daripada orang-orang Islam yang melaksanakan kewajipan Islam dan tidak terang-terangan melakukan maksiat. Ia melaksanakan hukum-hukum Islam serta ajaran-ajarannya. Oleh itu, kerajaan seperti inilah kerajaan Islam dari aspek keagamaan individu, berpegang dengan akhlak Islam serta melaksanakan hukum-hukum Syarak. Berdasarkan ini, kerajaan yang tidak melaksanakan hukum-hukum Syariat Islam bukanlah kerajaan atau Daulah Islamiyyah.(11)

Lukman Thaib pula berpendapat bahawa Daulah Islamiyyah ialah Negara yang pemerintahnnya bersumberkan kepada al-Quran al-Karim sebagai sumber pertama undang-undang Islam yang memberikan sebahagian prinsip-prinsip umum yang asas dalam bidang politik dan perlembagaan yang tidak boleh ditinggalkan oleh mana-mana sistem politik atau pemerintahan yang baik.(12)  Dr. Khalid Ibrahim Jindan menerangkan konsep Daulah Islamiyyah itu berdasarkan kepada definisi daripada Ibnu Taimiyyah iaitu pada sebuah Negara Al-Quran haruslah berperanan sebagai rujukan akhir hukum Islam, tidak hanya berperanan sebagai undang-undang perilaku keagamaan tetapi yang lebih khusus lagi, al-Quran merupakan hukum dasar tertinggi di samping sumber-sumber lain seperti Sunnah, Ijma’ dan Qias.(13)

Abu Abd. Fattah Ali Belhaj pula menegaskan bahawa Islam bukanlah semata-mata agama. Islam adalah agama sekaligus Negara (din wa al-Daulah). Dan Negara haruslah bersandarkan kepada nas-nas dan hukum yang diturunkan Allah. Tanpanya tidak akan wujud Daulah Islamiyyah. Maka tetap sahaja bahawa seluruh perkara yang ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah, penerapannya meniscayakan tegaknya pemerintahan dan Daulah Islamiyyah.(14)      Dr. Muhibbin, M.A menyatakan bahawa untuk melihat Negara itu sebuah Daulah Islamiyyah, maka lihatlah hukum dan undang-undangnya. Sendi dan rukun Daulah Islamiyyah ialah al-Quran sebagai asasnya.(15)  Dr. M. Dhiauddin Rays menyimpulkan bahawa Daulah Islamiyyah itu bukan hanya agama semata-mata tetapi ianya merupakan suatu perundangan, sistem pemerintahan peradaban yang lengkap yang mencakupi agama dan Negara secara bersamaan. Dengan kata lain, sistem Islam itulah sistem politik yang harus dilalui.(16)

Mengikut pandangan Ali, Ali Mansur; Negara adalah sekumpulan manusia yang menetap dalam suatu daerah tertentu. Mereka diperintahkan oleh satu badan pemerintahan yang mengelolakan urusan-urusan dalam dan luar negara.(17)  Artinya, untuk sebuah negara itu wujud, ia perlu kepada tiga rukun iaitu; Warganegara, daerah dan kedaulatan. Selain dari tiga rukun utama yang membentuk negara, terdapat syarat keempat yang mesti ada pada Daulah Islamiyyah. Syarat tersebut ialah kepatuhan yang mutlak kepada hukum-hukum Islam yang menjadi landasan dan kawalan kepada kerajaan.

Penjelasannya adalah seperti berikut:

Warganegara

Warganegara ialah kumpulan individu lelaki dan perempuan yang menetap dalam sesuatu negara. Warganegara juga disebut sebagai rakyat. Istilah rakyat atau warganegara berbeza dengan istilah penduduk. Penduduk biasanya bermaksud orang yang duduk atau tinggal dalam sesebuah negara termasuk juga warganegara dan bukan warganegara. Kadang-kadang terdapat orang-orang asing yang tinggal dalam sesebuah negara tetapi mereka bukan warganegara. Warganegara biasanya mendapat hak-hak mereka sebagai warganegara, seperti mendapat hak-hak tabii, hak politik dan hak-hak sivil seperti hak kebebasan, keselamatan, layanan sosial, kesihatan dan lain-lain. Orang asing biasanya tidak mendapat hak-hak politik seperti hak mengundi dan hak menjadi wakil rakyat. Orang asing juga tidak mendapat hak-hak sosial seperti hak memiliki harta tetap, hak melakukan kerja-kerja penting seperti kedoktoran, guaman dan sebagainya.

Pengiktirafan sebagai rakyat dalam Daulah Islamiyyah adalah dibuat berasaskan kepada agama (Islam). Oleh itu orang-orang Islam yang tinggal dalam sesebuah Daulah Islamiyyah adalah dianggap sebagai rakyat Daulah Islamiyyah. Hubungan persaudaraan atau bangsa tertentu tidak boleh dijadikan ukuran utama untuk menilai kedudukan kerakyatan dalam Daulah Islamiyyah. Seseorang yang beragama Islam dengan sendiri dianggap sebagai rakyat bagi Daulah Islamiyyah. Hubungan sesama Islam adalah berasaskan akidah. Akidahlah yang menjadi tali pengikat antara orang Islam dan umat Islam senegara. Kadang-kadang rakyat Daulah Islamiyyah digelar sebagai ummah. Ummah bererti rakyat Daulah Islamiyyah yang sama-sama berpegang kepada akidah yang sebenar tanpa mengira perbezaan warna kulit, perbezaan keturunan, bahasa, tempat tinggal dan sebagainya. Orang-orang Islam yang tinggal di luar Daulah Islamiyyah masih lagi dianggap rakyat Daulah Islamiyyah.

Orang-orang bukan Islam dalam Daulah Islamiyyah pula terbahagi kepada dua golongan iaitu; ahl al-Dhimmah (Kafir Zimmi) dan al-Musta’man:

Ahl al-Dhimmah (Kafir Zimmi)

Mereka adalah orang-orang bukan Islam yang tinggal dalam Daulah Islamiyyah, mematuhi undang-undang negara dan membayar jizyah. Jizyah yang dibayar adalah sebagai bukti kepatuhan mereka kepada Daulah Islamiyyah dan tidak lagi memusuhi dakwah Islamiah. Ia juga sebagai bukti penyertaan mereka dalam perbelanjaan negara. Daulah Islamiyyah wajib memberi perlindungan dan mempertahankan golongan kafir zimmi dari ancaman musuh dari dalam dan luar negara. Walaupun terikat dengan undang-undang Daulah Islamiyyah mereka diberi kebebasan untuk menganut agama masing-masing. Mereka bebas mengamalkan undang-undang dan peraturan agama mereka sesama mereka. Mereka diberi kebebasan untuk bekerja dan berniaga. Mereka mempunyai hak-hak dan tanggungjawab terhadap negara sama seperti rakyat yang beragama Islam.

Al- Musta’man

Al-Musta’man adalah orang yang dijamin keselamatan dalam Daulah Islamiyyah. Mereka juga dianggap golongan kafir zimmi yang tinggal untuk sementara waktu dalam Daulah Islamiyyah. Sekiranya orang-orang bukan Islam dari luar Daulah Islamiyyah ingin masuk ke Daulah Islamiyyah untuk sesuatu urusan yang diharuskan seperti berniaga dan belajar. Mereka hendaklah dibenarkan berbuat demikian dengan jaminan keselamatan bermula dari kemasukannya hinggalah mereka keluar dari Daulah Islamiyyah. Ini berdasarkan Firman Allah:

“Dan jika seorang dari antara orang-orang musyrik itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah dia supaya dia sempat mendengar firman Allah. Kemudian hantarkan dia ke tempat yang aman baginya. Demikianlah itu kerana mereka kaum yang tidak mengetahui.” (Surah al-Taubah 9:6)

Daerah

Maksud daerah bagi sesebuah negara ialah suatu kawasan bumi yang didiami oleh rakyat negara itu tanpa mengira jenis pertalian yang menghubungkan di antara satu kawasan dengan kawasan yang lain. Kadang-kadang daerah-daerah tersebut dihubungi dengan tanah-tanah yang sama (jalan darat). Kadang-kadang berbentuk pulau-pulau yang dipisahkan oleh laut, sungai dan sebagainya. Sesebuah negara tidak dihadkan dengan keluasan tertentu. Kabilah yang berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat yang lain tidak dianggap bernegara.

Sempadan antara negara-negara biasanya ditentukan dengan mengambil kira faktor alam semula jadi seperti banjaran bukit, sungai, selat, laut dan sebagainya. Contohnya Malaysia dan Singapura dipisahkan oleh Selat Tebrau. Malaysia Barat dan Sumatera dipisahkan oleh Selat Melaka. Malaysia dan Thailand dipisahkan oleh Sungi Golok dan lain-lain.

Daerah Daulah Islamiyyah ialah daerah-daerah yang tunduk di bawah kuasa kerajaan Islam, melaksanakan syariat Islam. Para fuqaha’ terdahulu menjelaskan bahawa Daulah Islamiyyah itu nama yang diberikan kepada daerah yang berada di bawah kekuasaan orang-orang Islam. Ia juga kadang-kadang disebut dengan istilah Dar al-Islam. Mengikut pandangan Dr. Abd al-Ghani Basyuni Abdullah, daerah yang dikira sebagai Daulah Islamiyyah ialah daerah yang didiami oleh majoriti umat Islam sahaja, tetapi yang lebih penting pengamalan Syariah Islam dalam daerah tersebut.(18)

Kedaulatan

Kedaulatan ialah kuasa tertinggi yang dimiliki oleh sesebuah kerajaan yang memerintah. Mengikut pandangan ahli undang-undang, sesebuah negara yang berdaulat mempunyai pelbagai kebebasan seperti:

Berhak untuk memilih tata politiknya sendiri.

Negara tersebut berhak untuk mentadbir daerahnya sendiri.

Negara mempunyai kuasa penuh untuk mengatur perhubungan dengan mana-mana negara lain atau mana-mana individu. Syarat utama ialah tidak berlaku apa-apa diskriminasi terhadap mana-mana kaum atau agama.

Negara berhak untuk menggubal undang-undang sendiri selagi tidak bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Negara berhak memerintah rakyatnya dan orang-orang yang tinggal dalam negara tersebut supaya patuh kepada undang-undang yang digubal.

Pihak pemerintah negara tersebut berkuasa untuk menjalankan proses dan urusan pengadilan ke atas rakyat dan penduduk negaranya tanpa campur tangan kuasa dari negara luar.

Mengikut perspektif Islam kedaulatan adalah kuasa politik yang terdapat dalam sesebuah negara. Adanya kekuasaan politik merupakan syarat utama kewujudan Daulah Islamiyyah. Kuasa politik dalam Daulah Islamiyyah diperolehi melalui keredhaan dan persetujuan dari rakyat. Ketua negara dan para pemerintah dilantik melalui pilihan dan persetujuan rakyat bukannya secara rampasan kuasa atau menggunakan kekerasan. Para penguasa dianggap berkuasa apabila rakyat menyerahkan mandat tersebut kepada mereka melalui bay’ah. Kuasa tersebut adalah milik sementara para pemimpin. Mereka diberi tanggungjawab oleh rakyat untuk menjalankan kewajipan agama dan juga urusan keduniaan berasaskan aturan agama. Apabila para pemimpin melakukan kesilapan, rakyat boleh memberi teguran. Rakyat juga mempunyai kuasa untuk memecat atau menukar pemimpin mereka apabila pemimpin tersebut gagal melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Kepatuhan Kepada Hukum-hukum Islam

Selain daripada tiga rukun utama yang membentuk negara, terdapat rukun keempat yang mesti ada pada Daulah Islamiyyah. Perkara yang keempat yang dimaksudkan ialah kepatuhan yang mutlak kepada hukum-hukum Islam yang menjadi landasan dan kawalan kepada kerajaan. Syarat ini akan menentukan skop dan bidang kuasa negara, matlamat dan semua bentuk hubungan dalam dan luar negeri. Perkara utama yang menjadi syarat Daulah Islamiyyah ialah kepatuhan mutlak kepada kaedah-kaedah dan hukum-hukum yang berhubungkait dengan akidah dan perundangan Islam yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Tanpa syarat ini Daulah Islamiyyah tidak dianggap wujud, sekalipun tiga rukun komponen pertama telah wujud.

Jika syarat tersebut menjadi kriteria bagi terbentuk sebuah Daulah Islamiyyah  maka masyarakat Islam yang diasaskan oleh Rasulullah di Madinah telah memenuhi keseluruhan syarat tersebut dan layak  untuk disebut sebagai Daulah Islamiyyah. Di Madinah telahpun wujud sekumpulan individu rakyat yang terdiri dari orang-orang Muhajirin dan Ansar. Madinah juga mempunyai persempadanan pemerintahan yang terbatas di mana orang-orang Makkah tidak menganggap Rasulullah itu pemimpin mereka. Masyarakat Islam Madinah juga mempunyai sistem pemerintahan tersendiri yang berasaskan kepada undang-undang syariah dan Rasulullah s.a.w diakui sebagai ketua negara. Perkara ini diakui di peringkat dalam dan juga luar negara. Berdasarkan penjelasan di atas Daulah Islamiah Madinah bolehlah dianggap sebagai sebuah masyarakat politik yang telah membentuk sebuah negara berdaulat yang tertua di dunia (BERSAMBUNG).

Penulis: DR BHARUDDIN CHE PA. Beliau adalah Pensyarah Kanan Jabatan Siasah Syar‘iyyah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Kuala Lumpur

Catatan Kaki:

(1) K. Ramanathan Kalimuthu (1987), Asas Sains Politik, Petaling Jaya: Budaya Ilmu Sdn. Bhd., h. 119.
(2) Ibid., h. 121.
(3) Dr. Abdul Halim El-Muahmmady (2001), Konsep Negara Islam. Laman web JAKIM 2001, http://www.Islam.gov.my/e-rujukan
(4) Haji Abdul Hadi Awang (1995), Sistem Pemerintahan Negara Islam, Petaling Jaya: Dewan Muslimat Sdn. Bhd., h. 23.
(5) Wan Zahidi Wan The (t.t.), Ciri-Ciri Sebuah Negara Islam, Pelaksanaan Hukum Syarak di Malaysia, ed; Khairul ‘Azmi Mohamad, Abdul Munir Yaacob, Ketua Penerangan dan Penyelidikan Kerajaan Negeri Johor, h. 13.
(6) Imam al-Baghdadi (1980), Usul al-Din, Beirut: Dar al-Kutub al-Imamiyyah,  h. 270.
(7) Muhammad Pisol Mat Isa (2001), Jihad Politik Dalam Politik dan Persoalan Negara Islam Mengikut Pandangan Sa’id Hawwa, Negeri Sembilan: M. Khairi Enterprise, h. 138.
(8) Sayyid Abu al-A’la Maududi (2000), Proses Pembinaan Negara Islam, Kuala Lumpur: Pustaka Salam, h. 29.
(9) Abd. Qadim Zallum (2001), Pemikiran Politik Islam Mengemukakan Ketinggian Politik Islam, Bangil Jawa Timur: Al-Izzah, h. 17.
(10) Muhammad Abd. Qadir Abu Fariz (1986), Dr., Sistem Politik Islam, Jakarta: Rabbani Press, h. 89.
(11) Muhammad Abd. Qadir Abu Fariz, Dr. (2000), Fiqh Siasah Menurut Imam As-Syahid Hassan Al-Banna, Kuala Lumpur; Pustaka Syuhada, h. 37
(12) Lukman Thaib (1998), Politik Menurut Perspektif Islam, Kajang: Synergymate Sdn. Bhd. h. 32.
(13) Khalid Ibrahim Jindan (1999), Teori Politik Islam, Telaah Kritis Ibnu Taymiyyah Tentang Pemerintahan Islam, Surabaya; Risalah Gusti., h. 59.
(14) Abu Abd. Fattah Ali Belhaj (2001), Menegakkan Kembali Negara Khilafah, Kewajipan Terbesar Dalam Islam, Bogor, Pustaka Thariqul Izzah, h. 82
(15) Muhibbin, M.A, Drs. (1996), Hadis-Hadis Politik; Yogyakarta: Pustaka Pelajar LESISKA, h. 27.
(16) M. Dhiauddin Rais, Drs. (2001), Teori Politik Islam, Jakarta: Gema Insani, h. 8
(17) Ali Ali Mansur (1994), Islam Dalam Perhubungan Antarabangsa, Mahmood Zuhdi Abdul Majid (terj.) Petaling Jaya: Budaya Ilmu Sdn. Bhd., h. 69.
(18) Abd al-Ghani Basyuni Abdullah (1986), Nazariyyah al-Daulah Fi al-Islam, Beirut: Al-Dar al-Jami’ah, h.34.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s