DAULAH (KHILAFAH) ISLAMIYYAH: KENISCAYAAN SEJARAH (2)

Daulah Islamiyyah Di Zaman Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. diutuskan ke dunia untuk menyelamatkan manusia dari kegelapan jahiliyyah kepada cahaya Islam. Dari segi politik, sebelum kedatangan Islam (sebelum dibangkitkan Rasulullah s.a.w.) orang-orang Arab tidak mempunyai kerajaan dan tidak memiliki sesebuah negara. Yang ada hanya kesepakatan antara mereka untuk menentang musuh-musuh luar apabila diancam atau diserang. Mereka tidak mempunyai kerajaan yang mengamalkan sistem politik tertentu,  tetapi mereka saling bermuafakat untuk membentuk qabilah-qabilah, hidup secara berkumpulan atas kepentingan untuk mempertahankan diri masing-masing dari ancaman musuh-musuh luar. Setiap qabilah biasanya hidup secara berasingan di antara satu sama lain. Pemilihan ketua bagi bagi setiap qabilah tidak mengikut sesuatu kaedah tetap. Kriteria pemilihan juga bergantung kepada kehendak orang ramai pada masa tersebut. Contohnya; mereka akan  memilih pemimpin berdasarkan beberapa faktor seperti; memilih seseorang yang lebih tua, yang lebih kaya, individu yang memang terkenal dan orang-orang   yang dihormati dalam masyarakat.

Timbul suatu persoalan, bilakah Rasulullah s.a.w. telah merancang untuk menubuhkan Daulah Islamiyyah ?. Para ulama berpendapat Baginda Rasulullah s.a.w. telah merancang menubuhkan Daulah Islamiyyah semenjak Baginda menerima wahyu lagi. Bermulanya Baginda dilantik menjadi Rasul begitulah bermulanya baginda bercita-cita untuk menubuhkan Daulah Islamiyyah. Secara ringkasnya, kegiatan politik pada zaman Rasulullah s.a.w. berlangsung dalam dua peringkat iaitu :

Peringkat Makkah iaitu peringkat perancangan penubuhan Daulah Islamiyyah.

Peringkat Madinah iaitu peringkat pelaksanaan Daulah Islamiyyah.

Peringkat Makkah

Sebelum Rasulullah s.‘a.w berhijrah ke Madinah, negara Islam belum lagi ditubuhkan. Pada masa itu belum ada lagi keperluan dan tuntutan supaya baginda berbuat demikian.(19)  Aspek  utama yang ditekankan oleh Baginda Rasulullah di peringkat awal sebelum berhijrah ke Madinah ialah soal akidah dan keimanan kepada Allah. Baginda juga menyeru  manusia berfikir tentang kebesaran Allah, menolak  kekufuran,  mengajar beberapa bentuk  sifat-sifat mulia dan mengajak manusia mengatasi  kejahilan.(20)  Sumber hukum yang paling utama pada masa itu ialah al-Qur’an yang diturunkan hanya melalui RasululLah s.‘a.w. sahaja.(21)

Banyak ayat-ayat al-Qur’an yang memerintahkan supaya umat Islam sentiasa mematuhi segala perintah yang di bawa oleh RasululLah s.‘a.w.  Terdapat  ayat yang menjelaskan  bahawa tidak harus bagi orang yang beriman mengamalkan apa yang mereka putuskan sendiri sekira ianya bertentangan dengan apa  yang ditetapkan  oleh RasululLah s.‘a.w.(22)  Ada ayat yang mengarahkan manusia supaya melaksanakan arahan RasululLah dan menjauhi larangannya.(23)  Al-Qur’an juga menganggap  sesiapa  yang taat kepada  Rasul bererti taat kepada Allah.(24)  Begitu juga  sekiranya berlaku sesuatu perselisihan  yang tidak boleh diselesaikan  maka manusia hendaklah  kembali  kepada al-Qur’an dan al-Sunnah.(25)  Semua penegasan tersebut menjadi bukti  bahawa RasululLah s.‘a.w adalah seorang Rasul yang mempunyai kuasa  menentukan hukum.

Kebanyakan  persoalan hukum yang dijelaskan Baginda di peringkat Makkah ada hubungkaitnya dengan akidah. Contohnya di peringkat Makkah dijelaskan beberapa perkara yang dilarang seperti larangan menyengutukan Allah,  larangan derhaka kepada ibu bapa,  larangan membunuh anak,  haram melakukan zina, haram membunuh  orang yang tidak berdosa dan lain-lain.(26)   Hukum-hukum pengharaman zina dan haramnya membunuh disebut secara umum sahaja  di peringkat Makkah.(27)   Perincian  hukum  bagi perbuatan zina   dan membunuh orang dijelaskan semula oleh RasululLah s.‘a.w. melalui beberapa ayat lain yang diturunkan  di Madinah.(28)

Di peringkat Makkah, Rasulullah s.a.w. berusaha membina aqidah, dengan ikatan keimanan dan keyakinan kepada Allah s.w.t. Baginda mengutamakan pembentukan akidah Islam yang sempurna di kalangan orang-orang Arab dan mendidik mereka dengan didikan akhlak Islamiyyah.  Baginda telah membuat pelbagai persiapan seperti menyusun strategi politik dalaman, mengatur hubungan dengan luar negara dan membangunkan persiapan ketenteraan. Baginda berusaha menanam akidah Islamiyyah dalam diri orang-orang yang baru memeluk agama Islam, memantapkan akidah mereka dan menyebarluaskan dakwah kepada pengikut-pengikut baru supaya beriman dan menerima cara hidup Islam. Firman Allah:

Maksudnya:
“Dia lah Yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) Dengan membawa petunjuk dan ugama Yang benar (ugama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikanNya atas Segala ugama Yang lain, Walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya”. Surah al-Tawbah 9: 33

Matlamat utama perjuangan Rasulullah ialah untuk berdakwah dan menyeru umat manusia kepada Islam dan menghapuskan amalan syirik yang tersebar luas di Semenanjung Arab pada masa itu. Baginda berjuang menegakkan keadilan dan menentang kezaliman serta penindasan. Daulah Islamiyyah  yang diperjuangkan oleh Rasulullah berjaya  menghapuskan amalan jahiliyyah yang diwarisi oleh umat Arab. Negara yang ditegakkan itu dapat menjamin kemajuan dari segi ekonomi, politik, kemasyarakatan dan lain-lain.

Selain itu, Rasulullah s.a.w. sentiasa mencari jalan untuk menyebarkan dakwah dan mencari sesuatu kedudukan yang selesa bagi umat Islam untuk mereka laksanakan ajaran Islam dengan bebas. Dalam menghadapi tentangan dahsyat daripada musyrikin Makkah, Rasulullah s.a.w. mengarahkan para sahabatnya supaya berhijrah ke Habsyah yang pada waktu itu diperintah oleh raja bernama Najasyi yang adil. Dalam realiti semasa, ia boleh disamakan dengan usaha mendapatkan perlindungan politik daripada mana-mana kerajaan.

Rasulullah s.a.w. juga memanfaatkan beberapa kebaikan sistem Makkah untuk kepentingan dakwah Islamnya. Antara kebaikan tersebut ialah sistem sokongan kekeluargaannya (Bani Hashim dan Bani Muttalib) terhadap keselamatan diri Baginda sendiri dan sistem al-Ijar iaitu perlindungan sementara yang boleh diberikan oleh mana-mana pihak yang berautoriti di Makkah sebagaimana yang dilakukan oleh Mat’am bin ‘Ady sewaktu Rasulullah s.a.w. memasuki Makkah daripada Ta’if. Perlindungan bapa saudaranya iaitu Abu Talib dan sehingga Baginda bertemu dengan kaum Aws dan Khazraj pada musim haji.

Kewujudan “Negara Madinah” yang disebut sebagai Daulah Islamiyyah yang pertama bukanlah berlaku secara kebetulan ataupun tanpa adanya persiapan terlebih dahulu. Bahkan Rasulullah s.a.w. telah menjalankan beberapa usaha serta membuat beberapa persiapan terlebih dahulu antara persiapan yang dilakukan ialah:
Bay‘ah ‘Aqabah Yang Pertama

Bay`ah Aqabah yang pertama telah berlaku satu tahun tiga bulan sebelum Baginda Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah. Pada musim haji Rasulullah telah bertemu dengan jemaah haji dari Yathrih yang terdiri dari suku kaum al-Aws dan al-Khazraj. Satu kumpulan dari mereka telah beriman kepada Allah dan Rasulullah. Mereka membuat perjanjian dengan Rasulullah yang di sebut sebagai Bay`ah al-`Aqabah al-Ula (Bay`ah Aqabah yang pertama). Mereka berjanji untuk menjaga iman mereka dan beriltizam dengan akhlak yang mulia. Mereka berjanji tidak akan mensyirikkan Allah, tidak akan mencuri, tidak melakukan zina, tidak akan membunuh anak, tidak membohongi (menipu) Rasulullah dan mematuhi Rasulullah dalam melakukan perkara-perkara yang baik.(29)  Perkara utama dalam perjanjian ini ialah mereka tetap berpegan kepada tauhid, berakhlak mulia dan sentiasa membantu Rasulullah s.a.w.

Bay‘ah ‘Aqabah Yang Kedua

Bay‘ah ini berlaku setahun selepas Bay‘ah ‘Aqabah yang pertama, iaitu pada musim haji tahun berikutnya iaitu lebih kurang tiga bulan sebelum Baginda berhijrah ke Madinah. Rasulullah telah berjumpa dengan 73 orang yang terdiri dari golongan lelaki dan wanita. Menurut perjanjian ini orang-orang Madinah menjemput Rasulullah untuk menetap di Madinah dan menyebarkan ajaran Islam di Madinah serta melindungi baginda dari sebaran ganguan dan ancaman musuh. Mereka telah berikrar untuk memberikan sokongan semasa dalam keadaan aman dan juga semasa peperangan menentang musuh-musuh negara. Bay‘ah ini juga termasuk memberikan kepatuhan sepenuhnya kepada kebenaran dan berani mengisytiharkan kebenaran tersebut.

Kedua-dua bay‘ah ‘Aqabah di atas merupakan perjanjian yang terkandung di dalamnya tujuan untuk mendirikan masyarakat Islam yang pertama dalam sejarah Islam. Bay‘ah tersebut juga merupakan bukti kukuh bahawa masyarakat Islam Madinah telah menerima Rasulullah sebagai pemimpin mereka. Selepas berlangsung dua Bay’ah iaitu Bay’ah pertama dan kedua (Bay’atul Aqabah), bermulalah episod sebenar penubuhan sebuah kerajaan dan sistem pemerintahan Islam dalam maksudnya yang praktikal selepas Rasulullah s.a.w. dan umat Islam berhijrah ke Madinah.

Peringkat Madinah

Ketika Rasulullah tiba di Madinah baginda bertindak menubuhkan Daulah Islamiyyah berasaskan pegangan akidah yang dipimpin sendiri oleh Baginda dengan pertolongan dan naungan dari Allah S.W.T. Terdapat beberapa aktiviti utama dalam penubuhan Daulah Islamiyyah.  Antaranya ialah:

Membina masjid

Masjid merupakan pusat pelbagai kegiatan bagi masyarakat Islam. Ia merupakan tempat pertemuan yang boleh mempereratkan hubungan sesama Islam. Masjid juga dijadikan sebagai pusat politik dan pentadbiran Daulah Islamiyyah pada masa itu. Masjid dijadikan tempat bermesyuarat dan perbincangan tentang pemerintahan pada masa itu.
Mempersaudarakan antara orang-orang Muhajirin dan Ansar

Rasulullah telah mempersaudarakan secara effektif di antara orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar. Persaudaraan ini bukan diikat berasaskan qabilah atau bangsa, tetapi persaudaraan yang diikat oleh dasar aqidah dan agama. Persaudaraan yang diikat oleh baginda Rasulullah s.a.w. adalah merupakan langkah awal untuk membentuk sebuah Daulah Islamiyyah

Menggubal Perlembagaan Madinah

Perlembagaan Madinah merupakan perjanjian yang berlaku di antar orang-orang Muhajirin, Ansar dan golongan Yahudi di Madinah. Ia mengandungi prinsip-prinsip asas yang menjamin kesejahteraan bersama dalam kehidupan mereka dalam negara Madinah. Dari segi perundangan, Daulah Islamiyyah Madinah merujuk kepada hukum  yang yang diturunkan oleh Allah melalui wahyu kepada Rasulullah s.a.w. Wahyu yang diturunkan Allah itu dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang berkaitan dengan keagamaan dan persoalan hidup keduniaan. Hukum-hukum tersebut terdapat secara tersusun  dalam mashaf yang dihafal oleh kaum Muslimin. Apabila timbul masalah yang berkaitan, amat mudah bagi umat Islam  menyelesaikannya, iaitu  dengan cara mereka merujuk  kepada ayat-ayat al-Quran yang dihafal. Sekiranya permaslahan hukum itu tidak dapat diselesaikan berpandu kepada ayat-ayat al-Quran, orang ramai akan merujuk terus permasalahan tersebut kepada Baginda Rasulullah s.a.w. Biasanya selepas orang ramai bertanya, Baginda Rasulullah  akan menjelaskan hukum yang berkaitan dengan perkara yang ditanya.

Daulah Islamiyyah di zaman Rasulullah bukan sahaja mengutamakan persoalan yang berkaitan dengan keagamaan sahaja, sebaliknya ia juga mengutamakan persoalan politik dan penyusunan negara. Perkara politik yang ditekankan  ialah berkaitan dengan:

Ketua Negara; Rasulullah merupakan ketua tertinggi Daulah Islamiyyah. Baginda memiliki kuasa dalam persoalan keagamaan dan keduniaan. Rasulullah dianggap sebagai ketua tertinggi dalam bidang keagamaan dan bidang keduniaan.

Rasulullah bertindak sebagai ketua hakim yang boleh menyelesaikan persengketaan dan perbalahan yang berlaku di kalangan rakyat. Baginda akan menyelesaikan pertikaian yang berlaku berlandaskan hukum syariat dan keputusan yang dibuat tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun. Dalam bidang keadilan dan kehakiman, Rasulullah merupakan hakim tertinggi yang memutuskan segala keputusan dan hukuman. Pun begitu, Baginda juga kadang-kadang melantik para sahabat menjadi hakim di dalam beberapa kes tertentu. Contohnya, dilantik Ali sebagai qadi di Yaman. Selain itu, terdapat enam orang sahabat yang terkenal dalam bidang kehakiman dan fatwa, mereka ialah Umar, Abdullah bin Mas’ud, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Umar dan Ummul Mukminin, Aishah sendiri.

Melaksanakan hukum hudud; Hukum hudud merupakan hukum yang wajib dilaksanakan ke atas orang-orang yang melakukan kesalahan jenayah dalam masyarakat Islam seperti kesalahan berzina, mencuri, minum arak, membuat tuduhan palsu dan lain-lain.

Mengetuai pasukan tentera dan mengelakkan berlakunya permusuhan. Rasulullah secara pribadi telah mengetuai tentera Islam untuk berhadapan dengan musuh-musuh Islam. Baginda merancang dan mengatur strategi menentang musuh-musuh Islam.  Penentangan dari musuh termasuklah mengancam Daulah Islamiyyah atau sekadar menganggu salah seorang rakyat dalam Daulah Islamiyyah. Sebagai ketua turus tentera bagi pasukan perang Madinah, Baginda sendiri pernah mengetuai peperangan yang penting untuk menentang orang-orang kafir dalam perang Badar, Uhud, Hunayn dan Fathu Makkah. Manakala dalam peperangan kecil, Baginda hanya melantik seorang ketua yang memimpin pasukan tersebut.

Selepas RasululLah berhijrah ke Madinah Baginda telah memperkenalkan  cara membentuk masyarakat  dan negara mengikut hukum Islam. Rasulullah s.a.w. menjalankan kuasa pemerintahan mengikut bimbingan wahyu dari Allah s.w.t. Firman Allah dalam al-Quran :

وما ينطق عن الهوى ان هو الا وحى يوحى

“Dan dia tidak memperkatakan sesuatu menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri, segala yang diperkatakan itu (sama ada al-Quran dan Hadith) tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan kepadanya”

RasululLah pada masa ini bukan sahaja  mengajar manusia berkaitan dengan soal ibadat, tetapi baginda  menjelaskan soal politik dan kemasyarakatan. Di sinilah baginda menentukan hukum-hukum  yang berkaitan dengan  soal kehidupan yang ada  hubungannya dengan individu dan masyarakat dalam segenap segi  seperti ibadat, mu‘amalat (pergaulan sesama manusia), jihad, jenayah, pusaka, wasiat, nikah cerai, sumpah, kehakiman dan pelbagai aspek perundangan yang lain.(30)  Baginda juga memperkenalkan hukum-hukum qisas, hudud dan ta‘zir (hukuman yang tidak ditetapkan oleh nas). Terdapat juga  hukum tentang peperangan, harta rampasan perang, masalah orang tawanan dan lain-lain. Baginda adalah seorang printis yang telah membina  kerajaan Islam yang  menjadi model kepada umat Islam selepasnya. Penubuhan negara Islam adalah bermula di Yathrib yang kemudiannya dikenali sebagai Madinah.(31)

Sebahagian  besar hukum-hukum yang diajar oleh Baginda RasululLah s.a.w. adalah berdasarkan wahyu al-Qur’an. Wahyu al-Qur’an diturunkan oleh Allah secara berperingkat-peringkat dalam berbagai-bagai  bentuk.   Kadang-kadang  ia menjelaskan  hukum bagi  perkara yang belum berlaku,(32)   kadang-kadang ia diturunkan untuk memberi penjelasan terhadap apa yang sedang berlaku (33)  dan kadang-kadang sebagai menjawab pelbagai persoalan yang  dikemukakan  kepada RasululLah.(34)

Ada juga pada masa-masa tertentu RasululLah s.‘a.w. melakukan ijtihad dalam menentukan hukum. Sebab itu sesetengah ulama berpendapat baginda adalah mujtahid yang pertama dalam Islam.(35)  Dalam  catatan sejarah kadang-kadang didapati baginda berijtihad bersendirian (36)  dan kadang-kadang baginda membuat keputusan  setelah berbincang dahulu  dengan para sahabat.(37)  RasululLah juga pernah membenarkan para sahabat melakukan ijtihad.(38)

Walaupun Rasulullah s.a.w. mempunyai kuasa dalam mengendalikan pemerintahan namun Baginda sering melakukan syura dengan para sahabatnya untuk mendapatkan pandangan mereka dalam sesuatu masalah. Rasulullah s.a.w. dibantu oleh para sahabat iaitu Ali dan Uthman selaku penulis wahyu. Mereka berdua pula dibantu oleh Ubayy bin Ka’ab, Zayd bin Thabit. Sementara itu, Zubayr dan al-Zuhaym bin al-Salat bertugas sebagai pegawai pengurus zakat dan sedekah. Huzayfah al-Yamani pula membuat tafsiran pendapatan hasil dari buah tamar. Al-Mughirah dan al-Hasan bin Numayr mencatatkan perjanjian perdagangan yang dilakukan oleh orang ramai. Abdullah bin Arqam dan ‘Ala bin Uqbah memelihara rekod tentang kabilah-kabilah serta sumber air, mereka juga mengendalikan catatan rekod tentang kaum Ansar. Selain itu, Zayd bin Thabit menjadi juru tulis yang membuat hubungan surat menyurat dengan raja-raja dan ketua-ketua kabilah. Manakala Mu’ayyib bin Abi Fatimah menjaga rekod mengenai pendapatan dari harta ghanimah (harta rampasan perang). Hanzalah bin al-Rabi’ah pula dikatakan bertindak sebagai setiausaha kepada Rasulullah s.a.w. dan beliau juga menyimpan cop mohor Baginda.(39)  Baginda juga melantik beberapa orang sahabatnya sebagai gabenor, hakim, dan pegawai tadbir di beberapa jajahan Islam (BERSAMBUNG).

Penulis: DR BHARUDDIN CHE PA. Beliau adalah Pensyarah Kanan Jabatan Siasah Syar‘iyyah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Kuala Lumpur

Catatan Kaki:

(19) Mutawalli, ‘Abd al-Hamid, Dr. (1975), Mabadi’  Nizam al-Hukm Fi al-Islam, Iskandariyyah: Mansya’ah  al-Ma‘arif, cet. ke 3, h. 196.
(20) Badran Abu al-‘Ayn  Badran (t.t.), al-Syari‘ah  al-Islamiyyah, Tarikhuha Wa Nazariyyah al-Milkiyyah Wa al-‘Uqud, Iskandariyyah: Mu’assasat Syabab al-Jami‘ah, h. 88.
(21) Badran Abu al-‘Ayn Badran, al-Syari‘ah al-Islamiyyah, op. cit., h. 93.
(22) Lihat al-Quran surah al-Ahzab (33):36.
(23) Lihat al-Quran surah al-Hasyr   (59): 7.
(24) Lihat al-Quran surah al-Nisa’ (4):80.
(25) Lihat al-Quran surah al-Nisa’ (4):59.
(26) Lihat al-Quran surah al-An‘am (6):151.
(27) Lihat al-Quran surah al-Isra’  (17):32 dan surah al-Isra’  (17):33.
(28) Lihat al-Quran surah al-Nur (24):2-3 dan surah al-Baqarah (2):178.Yang dimaksudkan dengan “Hukuman Qisas” ialah hukuman bunuh balas, iaitu nyawa  dibalas dengan nyawa,  kecuali jika pihak waris  orang yang terbunuh mengampunkan, maka sipembunuh dikenakan membayar  “Diyah” (ganti nyawa yang berupa hartabenda atau wang darah) dengan sepatutnya. Lihat  Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian al-Qur’an, Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Berhad, cet. keenam, 1995, h. 67.

(29) Ibn Hisyam (t.t.), al-Sirah al-Nabawiyyah, Beirut: Dar al-Jayl, j. 2, h. 57.
(30) Hassan   Haji  Salleh, Sejarah Perundangan Islam, Kelantan: Pustaka Aman Press, cet. kedua, 1979, h. 26.
(31) O.K. Rahmat, Dr., Republik Atau Monarki, Singapura: Pustaka Nasional Pte.Ltd., cet. pertama 1989, h. 5.
(32) Lihat al-Quran surah al-Baqarah (2):43.
(33) Lihat al-Quran surah al-Baqarah (2):228.
(34) Lihat al-Quran surah al-Isra’  (17):85.
(35) Muhammad  Faruq al-Nabhan, Nizam al-Hukmi Fi al-Islam, Beirut: Mu’assasah al-Risalah, cet. kedua, 1988, h. 420.
(36) Contoh  ijtihad  baginda  secara persendirian ialah, baginda  telah mengharamkan dirinya meminum madu. Tetapi ijtihad baginda itu ditegur oleh Allah dengan menurunkan ayat 1 Surah al-Tahrim. Lihat al-Quran surah al-Tahrim (66):1.
(37) Perbincangan di antara RasululLah dengan para sahabat adalah seperti menentukan  kedudukan orang tawanan perang Badar. RasululLah telah menerima cadangan Abu Bakar supaya diambil fidyah dan membebaskan tawanan perang tersebut.  Tetapi keputusan yang dibuat oleh RasululLah tersebut ditegur oleh wahyu yang datang daripada Allah. Allah menurunkan ayat 67 dan 68 Surah al-Anfal, memperbetulkan keputusan yang dibuat oleh RasululLah. Wahyu tersebut bersesuaian dengan pandangan ‘Umar Ibn al-Khattab. Sebab itu sesetengah ‘ulama’ berpendapat tidak harus bagi RasululLah s.‘a.w. berijtihad kerana ijtihad baginda seperti yang disebut disini ditegur oleh wahyu. Lihat ‘Abd al-Karim Khatib, op. cit.,  h. 46.
(38) Diantara contoh RasululLah membenarkan orang lain berijtihad ialah peristiwa dimana baginda telah mengutuskan  Mu‘adh Ibn Jabal ke Yaman. Tentang ini Ibn Qayyim menulis:
“Mengikut Mu‘adh Ibn Jabal RasululLah s.‘a.w. telah bertanya kepada beliau apakah  tindakannya apabila  berhadapan dengan sesuatu kes. Mu‘adh menjawab beliau akan menghukum  dengan Kitab Allah. RasululLah bertanya,  sekiranya tidak ada padanya hukum  ? Mu‘adh menjawab, beliau akan menghukum berdasarkan Sunnah RasululLah. RasululLah   bertanya  lagi,  sekiranya   tidak ada juga penjelasan hukum ? Beliau menjawab, “aku akan  berijtihad dengan  menggunakan  pendapatku”. Maka RasululLah menepuk dada Mu‘adh seraya bersabda, “Maha Suci Allah yang telah memberikan pertunjuk kepada utusan Rasul-Nya”.
Lihat Muhammad Ibn Abi Bakar Ibn Ayyub, Syams al-Din Ibn Qayyim  al-Jawziyyah, A‘lam al-Muwaqqi‘in,   Kaherah: Maktabah al-Kulliyah al-Azhariyyah,  j. I, 1968, h. 202.
(39) Amir Hassan Siddiqi, The Origin and Development of Muslim Institution, 2nd ed., Karachi: Jam’iyyat al-Falah Publication, 1969, hlm. 28.

 


Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s