DAULAH (KHILAFAH) ISLAMIYYAH: KENISCAYAAN SEJARAH (3 -end-)

Daulah Islamiyyah Di Zaman Al-Khulafa’ Al-Rasyidin

Selepas kewafatan Rasulullah timbullah permasalahan politik di kalangan umat Islam di Madinah. Mereka berselisih pendapat dalam menentukan siapakah pengganti Rasulullah s.a.w. yang akan menjadi ketua negara. Orang-orang Ansar merasakan wakil di kalangan mereka lebih layak menjadi khlifah kerana golongan Ansar mempunyai kelebihan mempertahankan Islam, membantu Rasulullah s.a.w. dan dakwah Islam. Mereka lebih cenderung supaya khalifah disandang oleh tokoh suku Khazraj iaitu Sa’d bin Ubadah. Bani Hashim merasakan bahawa jawatan ini mesti berada di kalangan mereka dan mereka percaya bahawa Ali bin Abi Talib adalah yang paling berhak di antara para sahabat Nabi s.a.w. kerana kedudukannya di sisi Rasulullah s.a.w. Orang-orang Muhajirin juga merasakan wakil mereka lebih layak menjadi khalifah kerana  mereka lebih awal memeluk agama Islam dan beriman serta banyak membantu Rasulullah. Mereka mahukan Abu Bakar dilantik sebagai khalifah kerana beliau merupakan orang yang pertama sekali memeluk Islam dan menjadi teman Nabi s.a.w. di dalam gua Thur.(40)

Perbincangan telah berlaku di antara orang-orang Muhajirin dan orang Ansar bagi menentukan khalifah pertama selepas Rasulullah sehinggalah Abu Bakar tampil memberikan penjelasan dan memuji peranan penting yang dimainkan oleh orang-orang Ansar membantu golongan Muhajirin dan memberi perlindungan kepada Rasulullah dan agama Islam. Beliau telah memberikan pengiktirafan yang tinggi kepada orang-orang Ansar. Namun beliau secara pribadi berpendapat jawatan khalifah selepas Rasulullah itu lebih sesuai diserahkan kepada orang-orang Muhajirin kerana mereka lebih awal beriman dan menerima Islam serta sanggup menanggung kesusahan menghadapi ancaman dari golongan kafir Musyrikin. Pemimpin dari golongan Ansar seterusnya memuji kaum Ansar dan mencadangkan jawatan khalifah sesuai diserahkan kepada golongan Muhajirin. Buktinya seorang pemimpin Ansar dari kaum Khazraj iaitu Basyir Ibn Sa`ad telah bagun  memberikan ucapan: (41)

“Wahai kaum Ansar demi Allah sekiranya kita merupakan orang yang paling utama berjihad menentang golongan Musyrikin dan merupakan orang yang awal memeluk agama Islam sudah tentu kita  memerlukan keredaan dari Tuhan dan mentaati nabi kita. Kita berpenat lelah untuk diri kita, maka tidak harus bagi kita memperpanjangkan lagi perkara ini… Sesungguhnya Nabi Muhammad merupakan orang Qurasy, kaumnya lebih berhak memegang jawatan ini (jawatan khalifah). Demi Allah, Allah tidak membenarkan saya menentang mereka tentang perkara ini. Bertakwalah kepada Allah, jangan kamu menentang mereka tentang perkara ini”.

Ucapan ini telah memberikan kesan yang mendalam kepada diri orang-orang Islam pada masa itu. Selepas itu tampillah Umar Ibn al-Khattab dan Abu Ubaydah memberi bay`ah kepada Abu Bakar menjadi khalifah. Kemudian tampil pula golongan Aws dan Khazraj memberi bay`ah. Dengan nikmat Islam maka Allah telah menyelamatkan umat Islam dari perpecahan.

Pelaksanaan Hukum Islam Di Zaman Pemerintahan Abu Bakar

Penentuan dan penggubalan hukum Islam (undang-undang) di zaman al-khulafa’ al-rasyidun (42)  dilakukan oleh  “jama‘ah al-mujtahidin” yang diketuai oleh khalifah. Mereka adalah  golongan ‘ulama’  dari kalangan  para sahabat  yang mempunyai kelayakan untuk berijtihad.  Merekalah orang-orang  yang ditugaskan untuk mentafsirkan hukum, khususnya bagi perkara-perkara yang baru timbul. Oleh itu di zaman al-khulafa’ al-rasyidun, apabila timbul persoalan baru yang sukar diselesaikan, para sahabat berkumpul untuk menentukan hukum terhadapnya.(43)   Kumpulan para sahabat inilah yang dinamakan oleh ‘ulama’ sebagai “Jam‘iyyah Tasyri‘iyyah”  yang boleh juga kita namakan badan yang  menentukan hukum.  Mereka adalah terdiri dari para sahabat dan ‘ulama’ mujtahidin.(44)  Fungsi yang dijalankan oleh mereka hampir sama dengan fungsi badan perundangan (badan lagislatif) yang ditubuhkan dalam sesebuah negara hari ini.

Berdasarkan fakta sejarah, apabila ingin menentukan sesuatu hukum, langkah pertama yang dilakukan oleh khalifah Abu Bakar ialah merujuk kepada al-Qur’an. Sekiranya penyelesaian tersebut tidak ada di dalam al-Qur’an beliau akan merujuk kepada al-Sunnah. Sekiranya  tidak ada penyelasaian mengikut penjelasan al-Qur’an dan al-Sunnah barulah beliau mengarahkan para sahabat berijtihad secara ijma‘. Keputusan yang dibuat oleh mereka itu dinamakan ijma‘.  Cara Abu Bakar menentukan hukum ini  disebut oleh Ibn Qayyim dalam bukunya A‘lam al-Muwaqqi‘in:

“Abu Bakar al-Siddiq apabila ditanya  kepadanya  sesuatu hukum beliau melihat kepada Kitab Allah. Sekiranya hukum yang dimaksudkan itu ada, beliau akan membuat keputusan  berdasarkan hukum tersebut. Sekiranya hukum tersebut tidak terdapat dalam Kitab Allah beliau akan meneliti pula  kepada Sunnah Rasul s‘.a.w. Sekiranya hukum yang dimaksudkan itu ada, beliau akan membuat keputusan berdasarkan hukum tersebut. Jika beliau tidak mendapatinya  di dalam al-Sunnah beliau akan bertanya kepada orang ramai: “Adakah   kamu mengetahui  bahawa RasululLah s.‘a.w. menghukum perkara itu dengan  sesuatu hukum ?”  Seringkali  terdapat sesuatu kaum tampil menjelaskan bahawa RasululLah menghukumnya begitu dan begini. Sekiranya tidak terdapat sebarang Sunnah dari RasululLah beliau akan mengumpulkan  para pemimpin dan bermesyuarat dengan mereka. Apabila mereka menetapkan sesuatu peraturan secara ijma‘,Abu Bakar akan menghukum  dengan ijma‘ tersebut.”(45)

Selepas  dipersetujui, keputusan ijma‘ ulama ini tidak boleh diubah-ubah lagi. Hukum tersebut akan  dipakai secara berterusan untuk masa-masa yang akan datang. Kadang-kadang dalam mengemukakan pandangan terdapat juga  percanggahan pendapat di antara satu sama lain.  Namun demikian biasanya perbezaan pandangan itu boleh diselesaikan dengan mudah oleh khalifah dengan menggunakan kuasanya untuk memilih mana satukah hukum yang patut diterima dan dikuatkuasakan. Di antara kuasa yang diberikan kepada khalifah ialah memilih pandangan-pandangan, iaitu dengan cara memilih satu pandangan yang terbaik sahaja untuk diterima sebagai hukum.(46)

Sewaktu memegang amanah kepimpinan, Abu Bakar telah menghadapi gejala murtad dan golongan yang enggan mengeluarkan zakat di kalangan beberapa kabilah Arab. Beliau telah melancarkan jihad terhadap golongan ini sehingga mereka kembali semula ke pangkuan Islam dan berjanji untuk menunaikan rukun Islam tersebut, manakala golongan yang berdegil telah diperangi oleh kerajaan Islam. Khalifah Abu Bakar meninggal dunia pada 22 Jamadil Akhir tahu ke 13 Hijrah sesudah berjaya menumpaskan golongan murtad dan selepas mencapai kejayaan cemerlang dalam usaha meluaskan daerah pemerintahan Islam. Dengan itu Abu Bakar merupakan pelopor kerajaan Islam yang teragung sesudah Rasulullah s.a.w.

Khalifah Umar al-Khattab

Selepas Abu Bakar, pemerintahan Islam diterajui oleh Sayyidina Umar bin al-Khattab. Nama beliau dicalonkan oleh Abu Bakar di mana beliau mengadakan perbincangan dengan para sahabat untuk melantik Umar selepasnya. Abu Bakar membuat surat perlantikan dan menyerahkan tanggungjawab kerajaan kepada Umar.

Zaman pemerintahan Umar merupakan zaman kegemilangan Islam dan ia menyempurnakan zaman pemerintahan Abu Bakar. Pada zamannya, khalifah Umar telah membuat beberapa pembaharuan di dalam sektor pentadbiran dan kewangan. Beliau merupakan orang pertama menubuhkan “Diwan” iaitu sistem jabatan. Beliau juga memperuntukkan gaji tetap kepada para pejuang Islam dan tanggungan mereka sewaktu mereka keluar perang.

Kebijaksanaan siasah Umar dan pandangan jauhnya, mendorong beliau mengambil faedah dari pengalaman negara-negara luar seperti sistem pentadbiran yang digunakan oleh kerajaan Rome dan Parsi. Di beberapa jajahan Islam pula, beliau membiarkan jabatan-jabatan di situ menggunakan bahasa tempatan. Beliau juga mengekalkan penggunaan matawang tempatan.

Pelaksanaan Hukum Islam Di Zaman Pemerintahan Umar al-Khattab

Amalan  yang dilakukan oleh Abu Bakar itu diteruskan oleh khalifah ‘Umar dan sahabat-sahabat yang  sezaman dengannya. Khalifah ‘Umar pun begitu, apabila menghadapi sesuatu masalah untuk menentukan hukum, mula-mula  sekali ‘Umar akan merujuk kepada al-Qur’an dan al-hadith. Sekiranya tidak ada penjelasan dalam kedua-dua nas tersebut beliau terlebih  dahulu akan merujuk kepada keputusan ijma‘ dan ijtihad  yang dibuat di zaman Abu Bakar.  Sekiranya hukum masih tidak ada maka beliau  mengumpul para sahabat untuk berbincang dan berijtihad secara ijma‘. Apabila para sahabat bersepakat menentukan hukum.  ‘Umar akan menerima  dan melaksanakannya di peringkat negara. (47)   Di peringkat permulaan  pemerintahan ‘Umar, ijma‘ berjalan lancar dan jarang berlaku  perbezaan pandangan di kalangan sahabat. ‘Umar Ibn al-Khattab  pernah melarang sekumpulan  sahabat yang dianggap sebagai ‘ulama’ ijtihad supaya jangan keluar dari Madinah demi kepentingan  untuk membantu khalifah berijtihad. (48)   Sebab itu tidak ramai di kalangan mereka  yang berhijrah  ke tempat-tempat yang berjauhan. Sebaliknya di peringkat pertengahan dan akhir zaman pemerintahan ‘Umar Ibn al-Khattab, negara Islam semakin meluas. Banyak  negara-negara yang baru dibuka seperti ‘Iraq, Azarbayjan, Parsi, Syam,  Mesir dan lain-lain. Oleh itu banyaklah masalah-masalah yang baru timbul. Keadaan tersebut merupakan sebab utama khalifah ‘Umar  dan sahabat-sahabat yang sezaman dengannya dalam banyak perkara  terpaksa menggunakan  kebijaksanaannya untuk  berijtihad menentukan hukum.(49)

Pada zaman itu juga peranan menentukan hukum telah diambil alih oleh  gabenor dan para qadi   yang berkuasa di seluruh pelusuk  negara Islam.  Dengan ini secara tidak langsung  beliau telah menyerahkan kuasa menentukan hukum  kepada qadi-qadi tersebut, khususnya bagi negeri-negeri yang jauh dari Madinah. Suasana ini akhirnya telah menimbulkan  banyak perselisihan pendapat dalam ijtihad.  Ijtihad yang berbentuk ijma‘  yang boleh diadakan sebelum itu semakin sukar untuk  diteruskan lagi. Para sahabat  menyelesaikan  masalah hukum di tempat masing-masing secara persendirian. Fatwa dan hukum yang dikemukakan  datang dari pandangan individu, dan mulalah  berlaku perbezaan pendapat dalam menentukan hukum.  Perbezaan pendapat dalam menentukan hukum  berkait rapat dengan perbezaan suasana  setempat serta berlainan  kebudayaan hidup.(50)  Masalah percampuran di antara orang Arab dengan bukan Arab juga  memberi kesan kepada usaha menentukan hukum dan timbullah perbezaan fahaman.(51)

Siasah pemerintahan Islam pada zaman Umar mencapai tahap kegemilangan apabila berjaya melumpuhkan empayar Parsi yang menjadi kuasa besar dunia di sebelah Timur. Pembukaan kota-kota baru telah menambahkan lagi bilangan penganut agama Islam. Keadaan ini telah mempengaruhi Sayyidina Umar untuk melakukan beberapa perubahan dan reformasi yang turut sama melibatkan persoalan hukum dan undang-undang Islam.

Khalifah Uthman Ibn Affan

Khalifah Umar meninggal dunia setelah ditikam oleh seorang Majusi bernama Abu Lu’luah pada akhir tahun 23 Hijrah. Urusan pemilihan khalifah telah diserahkan oleh beliau kepada majlis syura para sahabat yang terdiri daripada 6 orang iaitu ; Abdul Rahman bin Auf, Ali bin Abi Talib, Uthman bin Affan, Saad bin Abi al-Waqqas, Talhah bin Ubaydillah, dan Zubayr bin al-Awwam. Umar menegaskan seorang khalifah mesti dipilih di antara enam orang tersebut kerana beliau melihat kesemua calon tersebut merupakan ketua kaum masing-masing.

Permesyuaratan tersebut telah menerima Uthman sebagai orang yang paling layak untuk jawatan khalifah. Sebenarnya anggota syura telah menyerahkan pemilihan tersebut kepada Abdul Rahman bin Awf. Abdul Rahman telah mengelilingi kota Madinah untuk mengambil pendapat masyarakat dan akhirnya keputusan ramai memihak kepada Uthman walaupun ada yang memihak kepada Ali bin Abi Talib yang turut menjadi calon kedua.

Uthman meneruskan pemerintahan Islam yang sedang tumbuh gagah pada waktu itu. Beliau menyambung usaha pembukaan yang terhenti pada zaman Umar dan giat menghantar tentera laut yang mencemaskan Byzantine di samping usaha agungnya di dalam menyalin semula al-Quran menjadi naskhah rasmi kerajaan dan menghantar beberapa salinan ke jajahan Islam bagi mengelak perbalahan umat Islam dan pertumpahan darah di kalangan mereka.

Pelaksanaan Hukum Islam Di Zaman Pemerintahan Uthman Ibn Affan

Oleh kerana negara Islam semakin  luas, amalan  menentukan hukum yang dibuat mengikut pandangan masing-masing  makin menjadi-jadi. Institusi ijma‘ sebagai badan ijtihad pula menjadi semakin lemah,  dan akhirnya terlalu sukar untuk  dilaksanakan diperingkat negara. Seterusnya, di pertengahan zaman pemerintahan ‘Uthman pula telah timbul berbagai-bagai fitnah  yang menjejaskan institusi  badan perundangan. Dalam soal pemerintahan negara, ‘Uthman banyak menyerahkan tugas tersebut kepada pembantunya dari kalangan  keluarganya sendiri.(52)  Ini menyebabkan banyak golongan tidak suka kepadanya. Kelemahan pentadbiran dan campurtangan  golongan Bani Umayyah dalam pemerintahan beliau telah menyebabkan penduduk Kufah, Basrah dan Mesir datang ke Madinah dan  melakukan pemberontakan. Akhirnya pada bulan Zulhijjah  tahun 35 H. rumahnya dikepung dan beliau dibunuh.(53)  Pembunuhan ‘Uthman ini  telah menyebabkan  berlaku perpecahan yang besar di kalangan  umat Islam.(54)  Perpecahan tersebut  memberi kesan yang besar dalam penentuan hukum Islam Islam.  Setiap kumpulan  yang berpecah mempunyai kaedah yang berlainan dalam menentukan  hukum.  Pada mulanya  kaedah dan asas masing-masing adalah untuk  menguatkan  kumpulan masing-masing, tetapi akhirnya  ia telah menimbulkan perbezaan pendapat dalam penentuan hukum.(55)

Terdapat beberapa kelemahan di akhir pemerintahnnya kerana sikap beliau yang agak melebihkan kaum kerabat sehingga kebanyakan jawatan kerajaan dikuasai oleh Bani Umayyah. Sikap ini dikritik oleh para sahabat yang khuatir melihat keadaan tersebut. Di samping beberapa sebab lain, telah timbul kekacauan dan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk sehingga akhirnya membawa kepada pembunuhan Uthman yang penuh tragis.

Zaman Khalifah Ali Ibn Abu Talib

Selepas peristiwa pembunuhan Uthman oleh puak pemberontak, orang ramai melantik Sayyidina Ali r.a menjadi khalifah. Perlantikan tersebut tidak direstui oleh Mua’wiyyah r.a. yang memerintah jajahan Islam di Syam. Muawiyyah enggan memberikan bay’ah kepada Ali kecuali jika Ali segera menangkap pembunuh Uthman dan menjatuhkan hukuman terlebih dahulu. Pada zaman pemerintahan Ali telah berlaku peristiwa hitam yang meninggalkan sejarah pahit perpecahan umat Islam dengan berlakunya dua siri perang saudara iaitu berlakunya peperangan al-Jamal di antara ‘Ali dengan  ‘A’isyah dan peperangan Siffin di antara ‘Ali dengan Mu‘awiyah.

Selepas peperangan Siffin, telah berlaku peristiwa “Majlis al-Tahkim” antara pihak Muawiyyah dan pihak Ali bin Abi Talib. Peristiwa “Majlis al-Tahkim” telah menimbulkan  rasa tidak puas hati sebahagian dari kalangan umat Islam pada masa itu.(56)   Selepas itu lahirlah satu golongan yang dikenali sebagai Khawarij. Mereka itu pada asalnya berada di pihak Ali tetapi telah mengambil keputusan meninggalkan pasukan Ali.     Seterusnya golongan Khawarij telah merancang untuk melakukan pembunuhan ke atas Ali dan Muawiyyah, Amr bin al-As dan Abu Musa al-Ash’ari. Bagaimanapun mereka gagal membunuh Muawiyyah dan berjaya membunuh Sayyidina Ali melalui pembunuh upahan yang bernama Abdul Rahman bin Muljam pada bulan Ramadhan. Dengan kematian khalifah Ali r.a. tamatlah pemerintahan Khulafa’ Ar-Rasyidin yang merupakan zaman keemasan sebuah kerajaan Islam yang ideal.

Perbezaan pendapat selepas “Majlis al-Tahkim” juga telah membawa kepada percanggahan pendapat di antara puak Khawarij, Syi‘ah dan lain-lain menjadi semakin besar.  Tiap-tiap puak itu masing-masing mempercayai dan menyokong fuqaha’ dari golongan mereka sahaja sebaliknya  tidak mempercayai fuqaha’ dari  golongan yang lain. Selepas itu persengketaan sesama Islam semakin bertambah dan perkara ini berterusan sehingga ke zaman pemerintahan Bani Umayyah.

Kesimpulan

Berdasarkan seluruh perbincangan di atas dapatlah dibuat kesimpulan bahawa menegakkan Daulah Islamiyyah merupakan fardu kifayah yang diwajibkan ke atas diri semua umat Islam. Tanpa Daulah Islamiyyah sebahagian besar hukum-hukum syariah yang berkaitan dengan kenegaraan tidak dapat dilaksanakan. Oleh itu menjadi kewajipan kepada semua umat Islam hari ini melipatgandakan usaha ke arah penubuhan Daulah Islamiyyah. Contoh Daulah Islamiyyah yang paling baik dan sempurna sebagai ikutan ialah Daulah Islamiyyah pada zaman Rasulullah s.a.w. Kemudian diikuti dengan contoh-contoh negara Islam yang dipimpin oleh para khulafa’ al-Rasyidin. Allah S.W.T. berfirman:

Maksudnya:
“Allah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) Bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah Yang memegang Kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang Yang sebelum mereka: khalifah-khalifah Yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) Yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu Yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka”. (57)

Janji Allah akan tegakknya Daulah Islamiyyah Dunia di akhir zaman adalah suatu kemutlakan yang tidak dapat dibantah dan dipungkiri lagi. Keniscayaannya merupakan suatu jaminan yang pasti yang akan mengantar masyarakat manusia menuju kehidupan yang sejahtera dan damai, serta tidak akan pernah berbenturan dengan kekuatan alam yang dahsyat. Hal inilah yang harus diyakini oleh tiap-tiap pribadi muslim yang merindukan tegaknya kebenaran di atas muka bumi  ini.(58)  Mudah-mudahan amalan Rasulullah dan para sahabat itu sentiasa menjadi ikutan umat Islam di seluruh dunia sepanjang zaman.[TAMAT]

Penulis: DR BHARUDDIN CHE PA. Beliau adalah Pensyarah Kanan Jabatan Siasah Syar‘iyyah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Kuala Lumpur
Catatan Kaki:
     (40) Muhammad  Faruq al-Nabhan,  Nizam al-Hukm Fi al-Islam, Beirut: Mu’assasah al-Risalah, cet. Kedua, 1988, h. 91.
(41) Ibid.
(42) Zaman al-khulafa’ al-rasyidun adalah bermula pada tahun  11 H.  dan berakhir pada tahun 40 H.
(43) ‘Abd al-Wahhab  Khallaf (t.t.), Khulasah Tarikh Tasyri‘ al-Islami, Kuwait: al-Dar al-Kuwaitiyyah, hh. 31-32.
(44) ‘Abd al-Hamid  Mutawalli, Dr.,  Mabadi’ Nizam al-Hukm Fi al-Islami, op. cit., h. 198.
(45) Lihat Ibn Qayyim   al-Jawziyyah, A‘lam al-Muwaqqi‘in, j. I, op. cit., h. 62.
(46) ‘Isawi, ‘Isawi Ahmad (1967),  al-Madkhal Li al-Fiqh al-Islami, Kaherah: Dar al-Kitab al-‘Arabi, h. 49.
(47) ‘Abd Allah, ‘Abd al-Ghani Basyuni (1986),  Dr., Nazariyyat  al-Daulah Fi al-Islam, Beirut: al-Dar al-Jami‘ah, h. 61.
(48) Badran Abu al-‘Ayn Badran (1965), Usul al-Fiqh, Kaherah: Dar al-Ma‘arif, h. 221.
(49) Fathi  ‘Abd al-Karim (1984), al-Daulah Wa al-Siyadah Fi al-Fiqh al-Islami, Dirasah Muqaranah, Kaherah: Maktabah Wahbah, cet. kedua, h.. 50.
(50) Taha ‘Abd  al-Baqi Surur, Daulah al-Qur’an, Kaherah: Dar al-Fikr al-‘Arabi, t.t., h. 111.
(51) Fathi ‘Abd al-Karim, op. cit.,  h. 222.
(52) Ahmad   Syalabi, Mawsu‘ah  al-Tarikh  al-Islami Wa  al-Hadarah  al-Islamiyyah,  Kaherah: Maktabah al-Nahdah al-Misriyyah, cet. kesembilan, 1980, h. 429.
(53) Lihat Jalal al-Din ‘Abd al-Rahman al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa’, Kaherah: Dar al-Fikr al-‘Arabi, t.t., hh. 178-179; Lihat juga Abdul Halim Hasan,  Tarikh Kejadian Syarak, Penang: Persama Press, t.t.,  h. 72.
(54) Pada masa itu umat Islam berpecah kepada tiga puak iaitu; puak majoriti yang menyokong Mu‘awiyah, puak Syi‘ah yang berpihak kepada ‘Ali dan keturunannya dan puak Khawarij yang wujud  secara berasingan dan mengakui dua orang khalifah sahaja iaitu Abu Bakar dan ‘Umar sahaja.
(55) Sulayman al-Asyqar, Dr., Tarikh al-Fiqh al-Islami, al-Kuwayt: Maktabah al-Falah, cet. pertama, 1982,  h. 77.
(56) Hasan, Hasan Ibrahim (1964), Tarikh al-Islami al-Siyasi Wa al-Dini Wa al-Thaqafi Wa al-Ijtima‘i, Kaherah: Maktabah al-Nahdah al-Misriyyah, j. I, cet. ketujuh, h. 297.
(57) Surah al-Nur 24:55
(58) Dewan Perancang Dan Panitia Pelaksana Mudzakarah Ulama Serumpun Melayu, Kertas Kerja Rancangan Pelaksanaan Mudzakarah Ulama Serumpun Melayu Tahun  2010, Palembang,  Mac 2010, h.  9.

 

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s